Akhlak Rasulullah terhadap Istrinya
Kalau ada pakaian yang koyak,
Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga
memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.
Setiap kali pulang ke rumah,
bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil
tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.
Sayidatina 'Aisyah
menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan
rumahtangga. Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan
cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang."
Pernah baginda pulang pada
waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa
pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah
belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?"
(Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai
yang kemerah-merahan')
'Aisyah menjawab dengan agak
serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah."
Rasulullah lantas berkata,
"Jika begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa
kesal di wajahnya.
Sebaliknya baginda sangat
marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur,
"Mengapa engkau memukul isterimu?" Lantas soalan itu dijawab dengan
agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia
tetap degil, jadi aku pukul dia."
"Aku tidak bertanya
alasanmu," sahut Nabi s.a.w. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman
tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?" Pernah baginda bersabda,
"sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap
isterinya."
Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua
keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin
umat.
Pada suatu ketika baginda
menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu
rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi
menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser
antara satu sama lain.
Sayidina Umar yang tidak tahan
melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang,
"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang
amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"
"Tidak, ya Umar.
Alhamdulillah, aku sihat dan segar."
"Ya Rasulullah... mengapa
setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi
bergesekan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar
penuh cemas.
Akhirnya Rasulullah mengangkat
jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan
dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar.
Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali
bergeraknya tubuh baginda.
"Ya Rasulullah! Adakah
bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan
mendapatkannya buat tuan?"
Lalu baginda menjawab dengan
lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi
Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nati, apabila aku
sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?"
"Biarlah kelaparan ini
sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di
dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."
Baginda pernah tanpa rasa
canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan
kotor. Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh
seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa
kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid
sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.
Mengenang peribadi yang amat
halus ini, timbul persoalan dalam diri kita... adakah lagi bayangan
peribadi baginda Rasulullah
s.a.w. hari ini? Apa yang kedengaran sehari-hari sepertimana yang didedahkan
oleh media massa, hanyalah cerita-cerita
derita akibat sikap mereka-mereka yang tidak berperanan di tempatnya. Amat
sukar hendak mencari seorang manusia yang sanggup mengorbankan kepentingan diri
untuk orang lain semata-mata kerana takutkan ALLAH, sepertimana yang dilakukan
oleh Rasulullah.
Apakah rahsia yang menjadikan
jiwa dan akhlak baginda begitu indah? Apakah yang menjadi rahsia kehalusan
akhlaknya hingga sangat memikat dan menjadikan mereka yang hampir dengannya
begitu tinggi kecintaan padanya. Apakah anak kunci kehebatan peribadi baginda
yang
bukan saja sangat bahagia
kehidupannya walaupun didalam kesusahan dan penderitaan, bahkan mampu pula membahagiakan
orang lain tatkala di dalam derita. Nur Muhammad itu, yang ALLAH ciptakan semua
makhluk yang lain kerananya, mempunyai kekuatan dalaman paling unggul.
Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah
sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ketuanan.
Seolah-olah anugerah kemuliaan
dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain,
ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan. Ketika pintu Syurga telah
terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu
sepi malam hari, terus-menerus beribadah.
Fisikalnya sudah tidak mampu
menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah,
"Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih
bersusah payah begini?" Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah,
bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi
hamba-Nya yang bersyukur."
Tidak ada komentar:
Posting Komentar