Selasa, 28 Februari 2012

Mentaati Orang Tua


Anak wajib mentaati kedua ibu bapa

TIDAK terhitung dan terbalas jasa kedua ibu bapa apabila mengenangkan betapa besarnya pengorbanan mereka memelihara serta mendidik anak-anak menjadi insan sempurna. Dalam hal ini, anak-anak sepatutnya mentaati kedua ibu bapa yang dianggap sebagai payung dalam kehidupan untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Pegawai Tadbir Rundingcara Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN), ustaz Shafie Khatib Jali menjelaskan, seorang anak wajib mentaati kedua ibu bapa selagi suruhan itu tidak ke arah kemaksiatan.

Ini jelas berdasarkan kepada firman Allah s.w.t. dalam al-Quran surah Luqman ayat 15 yang bermaksud, ''Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah kedua-duanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu, kemudian hanya kepadaKulah kembalimu, maka Ku berikan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan'' (Luqman : 15).

Menurutnya, seorang anak juga patut berbakti kepada ibu bapa dalam apa juga keadaan termasuk menyediakan segala kemudahan seperti keperluan tempat tinggal, makan minum, pakaian serta rawatan. Dalam hal ini, jika seorang bapa hendak berkahwin lain setelah kematian isteri seorang anak berhak mencarikan pasangan untuknya dan mengizinkannya berkahwin lagi. ''Anak perlu memahami kesunyian yang melanda bapa setelah kematian ibu mereka dan anak tidak berhak menghalangnya,'' katanya.

Menyentuh mengenai sesetengah ibu bapa memilih untuk tinggal bersendirian beliau menambah, anak-anak perlu mengambil pendekatan yang lebih bijak bagi memastikan kedua orang tua mereka mendapat penjagaan dan perlindungan yang sempurna. ''Anak-anak juga bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal atau kemudahan perhubungan bagi memudahkan mereka berhubungan antara satu sama lain sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini,'' terang ustaz Shafei lagi. Bagi anak-anak yang tinggal berjauhan mereka perlu meluangkan masa menziarahi kedua ibu bapa sekerap yang mungkin. Anak-anak juga bertanggungjawab menyediakan kemudahan seperti orang gaji sekiranya ibu atau bapa mereka tidak berkeupayaan melakukan kerja-kerja rumah. Menyentuh mengenai keutamaan antara ibu dan bapa, Shafie turut mencontohkan ingatan Nabi Muhammad SAW kepada umatnya dalam satu hadis yang berbunyi, Berkata (bertanya) seorang laki-laki, ''Ya Rasulullah siapakah manusia yang lebih berhak aku pergauli dengan baik?'' Berkata ia, ''Ibu engkau , ibu engkau, ibu engkau, kemudian bapa engkau, kemudian yang lebih dekat lagi kepada engkau''.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis ini mengingatkan kita bahawa seorang anak wajib berbakti dan berbuat kebaikan terhadap kedua ibu bapa. Ini kerana ibu bapa adalah orang yang banyak berjasa dan pengorbanan yang dicurahkan tidak terbalas dengan wang ringgit.

Shafie menjelaskan, hadis tersebut turut menekankan betapa besarnya peranan ibu mempengaruhi kehidupan seseorang anak. Ini bukan bererti, kasih sayang dan penghormatan terhadap bapa berkurangan. Jasa dan pengaruh bapa tidak kurang besarnya terhadap anak-anak. Sebagai ketua keluarga tambah Shafie, seorang bapa berusaha setiap hari menyediakan makan, minum, pakaian serta keperluan lain. Usaha sedemikian katanya, dilakukan semata-mata didorong oleh rasa tanggungjawab dan cinta terhadap keluarganya. Seorang anak juga perlu menjaga hati kedua ibu bapa agar tidak kecewa dan berkecil hati dengan setiap perlakuan atau pertuturan mereka.

''Sebagai seorang anak jangan sekali-kali menderhaka dan melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh mereka sehingga membuatkan ibu bapa mengeluarkan air mata,'' katanya.

Anak-anak juga harus menggunakan bahasa yang lembut dan perkataan-perkataan yang mulia apabila bertutur dengan ibu bapa.

Seseorang itu dianggap durhaka apabila kedua ibu bapa mereka berkecil hati atau tersinggung terhadap perbuatan yang dilakukan kecuali mereka redha.

Bagi memperjelaskan mengenai betapa besarnya peranan ibu dan bapa dalam kehidupan dengan memberi contoh sabda Nabi s.a.w yang bermaksud.

''Siapa mencari keredhaan ibu bapanya, maka sesungguhnya ia mencari keredhaan Allah.

''Dan siapa yang menyebabkan kebencian ibu bapanya, maka sesungguhnya ia menyebabkan kebencian Allah''. (Hadis Riwayat Bukhari).

Seorang anak katanya juga, tidak boleh sekali- kali berkata kasar apalagi mencaci dan memaki ibu bapa.

''Sekiranya seorang anak dipanggil oleh ibu atau bapa, mereka perlu menjawab panggilan kedua ibu bapa dan tidak boleh mengambil sikap acuh tak acuh terhadap suruhannya,'' tegasnya.

Dalam al-Quran sendiri, kata Shafie turut menerangkan bahawa anak-anak wajib merendahkan diri mereka terhadap ibu bapa sebagai tanda dan bukti kasih sayang seorang anak terhadap ibu bapa.

''Dan rendahkanlah dirimu terhadap kedua orang tua dengan rasa kasih sayang''. (al-Isra'; 24).

Di samping itu, seorang anak juga bertanggungjawab mendoakan kebaikan kepada ibu bapanya sama ada yang masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Malah firman Allah terhadap tanggungjawab seorang mendoakan ibu bapa mereka amat jelas sekali sebagaimana yang bermaksud dalam al-Quran, ''Wahai Tuhan kami ampunilah kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan kepada segenap kaum mukminin di hari ditegakkan nisab perhitungan.'' (Ibrahim41).

Kata Shafie lagi, ''kehilangan ibu atau bapa adalah sesuatu yang sangat besar dan tidak ada penggantinya.

''Oleh itu, selagi hayat kedua ibu bapa masih ada setiap anak perlu memanfaatkannya dengan sesuatu yang boleh membahagiakan kedua-dua mereka,'' ujarnya.

Oleh : Surya Putra

Tidak ada komentar:

Posting Komentar