Pengertian Jinayat
Jinayah menurut fuqaha’ ialah
perbuatan atau perilaku yang jahat yang dilakukan oleh seseorang untuk
mencerobohi atau mencabul kehormatan jiwa atau tubuh badan seseorang yang lain
dengan sengaja.
Penta’rifan tersebut adalah khusus
pada kesalahan-kesalahan bersabit dengan perlakuan seseorang membunuh atau
menghilangkan anggota tubuh badan seseorang yang lain atau mencederakan atau
melukakannya yang wajib di kenakan hukuman qisas atau diyat.
Kesalahan-kesalahan yang melibatkan
harta benda, akal fikiran dan sebagainya adalah termasuk dalam jinayah yang
umum yang tertakluk di bawahnya semua kesalahan yang wajib dikenakan hukuman
hudud, qisas, diyat atau ta’zir.
Faedah dan manafaat daripada
Pengajaran Jinayat :-
1) Menjaga keselamatan nyawa
daripada berlaku berbunuhan sesama sendiri dan sebagainya
2) Menjaga keamanan maruah di dalam
masyarakat daripada segala fitrah tuduh-menuduh.
3) Menjaga keamanan maruah di dalam
harta benda dan nyawa daripada kecurian, ragut dan lain-lain.
4) Berhubung dengan keamanan negara
dan menyelenggarakan keselamatan diri.
5) Perkara yang berhubung di antara
orang-orang Islam dengan orang-orang kafir di dalam negara Islam Pembunuhan
Bab 2 : Bentuk Hukuman Yang
Dikenakan Ke Atas Penjenayah
Mengikut peruntukan hukum syara’
yang disebutkan di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith dan yang dikuatkuasakan dalam
undang-undang jinayah syar’iyyah, penjenayah-penjenayah yang didakwa di bawah
kes jinayah syar’iyyah apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib dikenakan
hukuman hudud, qisas, diyat atau ta’zir.
Hukuman-hukuman ini adalah tertakluk
kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penjenayah-penjenayah tersebut.
1. Hukuman Hudud
Hukuman hudud adalah hukuman yang
telah ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith. Hukuman
hudud ini adalah hak Allah yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti
hukumannya atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh
sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah
ditentukan oleh Allah dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang
zalim. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang melanggar
aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah
Al-Baqarah, 2:229).
Kesalahan-kesalahan yang wajib
dikenakan hukuman hudud ialah:
a) Berzina, iaitu melakukan
persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara’.
b) Menuduh orang berzina (qazaf),
iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya
dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.
c) Minum arak atau minuman yang
memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun tidak.
d) Mencuri, iaitu memindahkan secara
sembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya
dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.
e) Murtad, iaitu orang yang keluar
dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan
i’tiqad kepercayaan.
f) Merompak (hirabah), iiatu keluar
seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau
menakutkan dengan cara kekerasan.
g) Penderhaka (bughat), iaitu
segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah yang
menjalankan syari’at Islam dan hukum-hukum Islam.
2. Hukuman Qisas
Hukuman qisas adalah sama seperti
hukuman hudud juga, iaitu hukuman yang telah ditentukan oleh Allah di dalam
Al-Qur’an dan Al-Hadith. Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman
balas.
Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa
dibalas dengan nyawa), melukakan dibalas dengan melukakan, mencederakan dibalas
dengan mencederakan.
Kesalahan-kesalahan yang wajib
dikenakan hukuman qisas ialah:
a) Membunuh orang lain dengan
sengaja.
b) Menghilangkan atau mencederakan
salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja.
c) Melukakan orang lain dengan
sengaja. Hukuman membunuh orang lain dengan sengaja wajib dikenakan hukuman
qisas ke atas si pembunuh dengan dibalas bunuh. Firman Allah s.w.t. yang
bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman,
diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara
orang-orang yang mati dibunuh.” (Surah Al-Baqarah, 2:178)
Hukuman menghilangkan atau
mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melukakannya wajib
dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu
juga mengikut jenis anggota yang dicederakan dan dilukakan tadi.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan Kami telah tetapkan atas mereka
di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata
dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas
dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah
dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka
menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa
yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
(Surah Al-Ma’idah: 45)
3. Hukuman Diyat
Hukuman diyat ialah harta yang wajib
dibayar dan diberikan oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai
gantirugi disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya.
Hukuman diyat adalah hukuman kesalahan-kesalahan yang sehubungan dengan
kesalahan qisas dan ia sebagai gantirugi di atas kesalahan-kesalahan yang
melibatkan kecederaan anggota badan atau melukakannya.
Kesalahan-kesalahan yang wajib
dikenakan hukuman diyat ialah:
a) Pembunuhan yang serupa sengaja.
b) Pembunuhan yang tersalah (tidak
sengaja).
c) Pembunuhan yang sengaja yang
dimaafkan oleh wali atau waris orang yang dibunuh. Firman Allah s.w.t. yang
bermaksud:
“Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat
sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah
(orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti
nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu)
dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan
kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk
membalas dendam pula) maka baginya azab siksa yang tidak terperi sakitnya.”
(Surah Al-Baqarah, 2:178)
4. Hukuman Ta’zir
Hukuman ta’zir ialah
kesalahan-kesalahan yang hukumannya merupakan dera, iaitu penjenayah-penjenayah
tidak dijatuhkan hukuman hudud atau qisas. Hukuman ta’zir adalah hukuman yang
tidak ditentukan kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Al-Qur’an dan
Al-Hadith.
Hukuman ta’zir adalah dera ke atas
penjenayah-penjenayah yang telah sabit kesalahannya dalam mahkamah dan
hukumannya tidak dikenakan hukuman hudud atau qisas kerana kesalahan yang
dilakukan itu tidak termasuk di bawah kes yang membolehkannya dijatuhkan
hukuman hudud atau qisas.
Jenis, kadar dan bentuk hukuman ta’zir itu
adalah terserah kepada kearifan hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang
patut dikenakan ke atas penjenayah-penjenayah itu kerana hukuman ta’zir itu
adalah bertujuan untuk menghalang penjenayah-penjenayah mengulangi kembali
kejahatan yang mereka lakukan tadi dan bukan untuk menyiksa mereka.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar